Latest

Thursday, March 20, 2008

Beri Masa Untuk Pulihkan BN, Kata Mustapa - Bernama

KOTA BAHARU, 20 Mac (Bernama) -- Anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno Datuk Mustapa Mohamed yakin Barisan Nasional (BN) mampu dipulihkan semula, selepas mengambil kira hasil kajian sebuah badan bebas yang menjalankan post mortem untuk menganalisis pencapaian BN pada pilihan raya baru-baru ini.

Mustapa, yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani berkata tindakan tegas dan segera perlu diambil bagi meningkatkan semula sokongan rakyat kepada BN.

"Sekiranya tindakan tegas tidak diambil terhadap penemuan (badan bebas) mengenai punca prestasi buruk BN pada pilihan raya lepas, kita khuatir ia boleh menyebabkan parti mengalami masalah lebih banyak lagi," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas cadangan Ketua Umno Bahagian Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah supaya Umno mengadakan persidangan agung khas bagi bagi membincangkan secara khusus pencapaian BN pada pilihan raya lepas.

Beliau ditemui Bernama selepas melawat Ketua Umno Bahagian Tanah Merah, Datuk Hashim Shafin yang sedang dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) selepas diserang sakit jantung dua hari lepas.

[More at http://www.bernama.com.my/bernama/v3/bm/news.php?id=321699]

No comments: