Latest

Monday, April 21, 2008

Saya bukan penakut - Najib - Utusan

KUALA LUMPUR 21 April — Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menolak dakwaan Tun Dr. Mahathir Mohamad kononnya beliau lemah dan pengecut dan tidak layak menjadi Perdana Menteri.

“Ia bukan masalah `Mr. Yes Man atau tak berani atau takut sebab saya berpegang kepada prinsip bahawa cara yang terbaik ialah penyerahan kuasa secara tersusun, cara yang terhormat. Itu yang akan memberi makna dan menentukan kepentingan parti tidak terjejas,” katanya kepada pemberita hari ini, ketika diminta mengulas kenyataan Dr Mahathir bahawa beliau tidak seharusnya menjadi Perdana Menteri kerana tidak berani mendedahkan sebab sebenar kekalahan Barisan Nasional pada pilihan raya lepas.

Najib berkata, sorotan sejarah UMNO akan membawa orang ramai melihat bahawa penyerahan kuasa yang pertama antara almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dan allahyarham Tun Abdul Razak Hussein berjalan dengan cara yang baik.

“(Allahyarham) Tun Hussein Onn serah kepada Tun Dr. Mahathir pun dengan cara yang baik. Sudah ada tradisi, cara yang baik yang diamalkan dalam parti.

“Pada hemat saya itulah cara yang terbaik dan kaedah yang baik untuk kita melakukan perubahan kepada kepimpinan negara seperti mana yang dinyatakan oleh Perdana Menteri dan presiden parti,” katanya.

[From http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0421&pub=Utusan_Malaysia&sec=Terkini&pg=bt_16.htm]

No comments: