Latest

Wednesday, March 12, 2008

PM Beri Amaran Kepada Lim Jangan Marakkan Ketegangan Kaum - Bernama

PUTRAJAYA, 12 Mac (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini memberi amaran kepada Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng supaya tidak membuat kenyataan yang boleh memarakkan ketegangan kaum.

Lim, selepas mengangkat sumpah jawatan sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang semalam, memberitahu pemberita bahawa kerajaan negeri pimpinan DAP itu tidak akan mengamalkan Dasar Ekonomi Baru.

Lim juga berkata DEB, yang diperkenalkan pada 1971 selepas rusuhan kaum 13 Mei 1969 untuk membasmi kemiskinan dan menyusun semula masyarakat, merupakan punca kepada "kronisme, rasuah dan ketidakcekapan."

Abdullah memberitahu Bernama selepas mengadakan pertemuan dengan para pegawai tinggi kerajaan di pejabatnya di sini, bahawa DEB yang diperkenalkan perdana menteri kedua allahyarham Tun Abdul Razak Hussein, sebenarnya telah berjaya meningkatkan pertumbuhan ekonomi dan ini telah memberi faedah kepada semua kaum.

"Saya ingin bertanya kepada DAP kaum manakah yang telah menjadi lebih miskin kerana DEB.

"Saya ingin juga memberi peringatan kepada kerajaan Negeri Pulau Pinang supaya jangan menimbulkan keadaan di mana ketegangan antara kaum boleh berlaku," tegas Abdullah yang juga Ketua Perhubungan Umno Pulau Pinang.

[More at http://www.bernama.com.my/bernama/v3/bm/news.php?id=320242]

No comments: