Latest

Saturday, April 19, 2008

Hishammuddin sangkal laporan Malaysiakini - Utusan

KUALA LUMPUR 19 April - Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menyangkal laporan laman web Malaysiakini bahawa Naib Ketuanya, Khairy Jamaluddin mengakui isu keris merupakan salah satu punca kemerosotan sokongan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum lalu.

Tegasnya, berita-berita daripada laman web, blog atau khidmat pesanan ringkas (SMS) perlu diteliti terlebih dahulu kerana ia boleh menjejaskan perpaduan dan kredibiliti seseorang individu itu.

''Tak mungkin naib ketua saya boleh menyatakan sedemikian kerana dia sentiasa ada bersama-sama dengan saya," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung PIBG Ke-39 dan Pengisytiharan 110 Tahun Sekolah Kebangsaan (SK) Semenyih di sini hari ini.

Hishammuddin mengulas mengenai kenyataan Khairy dalam laman web tersebut yang dipetik sebagai berkata, isu keris menjadi salah satu daripada beberapa punca sokongan terhadap BN merosot dalam pilihan raya umum 8 Mac lalu.

Bagaimanapun, Khairy dalam laporan itu menolak tanggapan bahawa isu keris menjadi punca utamanya.

[More at http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0420&pub=Utusan_Malaysia&sec=Politik&pg=po_03.htm]

No comments: