Latest

Monday, April 7, 2008

Tiga Exco Pas setuju - Utusan

SHAH ALAM 7 April - Semua tiga Anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Selangor dari parti Pas tidak menghalang pelaksanaan projek ladang penternakan babi bernilai RM100 juta di Sepang.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan negeri, Dr. Halimah Ali berkata, Pas menyokong projek itu selagi ia tidak mencemarkan alam sekitar.

"Kita tidak ada masalah, kita sokong. Kita orang Islam hanya diharamkan daripada memakan daging babi tetapi orang bukan Islam pula mereka makan babi. Itu hak mereka. Kita sangat rasional untuk kegunaan mereka," katanya.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Lujnah Perpaduan Nasional Pas Pusat berkata demikian ketika ditemui sewaktu mengiringi pertemuan antara Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dengan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng di sini hari ini.

Dua lagi Exco Selangor dari Pas ialah Datuk Dr. Hassan Mohamed Ali yang memegang potfolio Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Islam, Adat-Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam manakala Iskandar Abdul Samad ialah Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan.

Menurut Dr. Halimah, pihaknya menyokong semua projek yang baik serta menepati piawaian antarabangsa dan keadaan itu berbeza dengan penternakan babi di Melaka yang mencemarkan alam sekitar.

"Masalahnya sentimen orang Melayu seolah-olah babi lebih besar dosanya daripada rasuah dan jenayah, pada hal kita tidak boleh makan sahaja, pegang pun boleh tetapi nak kena samak," katanya.

[More at http://www.utusan.com.my/utusan/arkib.asp?y=2008&dt=0408&pub=Utusan_Malaysia&sec=Politik&pg=po_11.htm]

No comments: